Wednesday 18 September 2013

Batas-Batas Aurat Dalam Islam

Pengertian Aurat :
  • dari segi bahasa; ialah keaiban.
  • dari segi istilah Syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang        wajib ditutup.
Secara keseluruhannya, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI

Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.

Firman Allah SWT:

{وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ}

Maksudnya: {Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga bawah dada}. [An-Nur: 3.
Firman Allah SWT

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا} الأحزاب (59)

Maksudnya: {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}. [Al-Ahzab: 59].

Firman Allah lagi:

{وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ} الأحزاب (53)

Maksudnya: {Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …} [Al-Ahzab: 53]

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata:
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284]

HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah R.anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).”

BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:

Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;
  1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk  rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak          kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:             “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR Al-Bazar dan At-Tirmizi).
  2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
  3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
  4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh badan.

Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram). 

Perbezaan pendapat;

1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.

b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.

1.   Bapa sendiri ( bapa kandung).
2.   Bapa suami (bapa mertua).
3.   Anak lelaki.
4.   Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5.   Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6.   Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7.   Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8.  Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9.   Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12.Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13.Menantu lelaki.

 DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM                 BEBERAPA KEADAAN.

1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan              kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli.
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi.
5. Ketika mengajar.


Hukum wanita Islam mendedahkan aurat kepada wanita bukan Islam.

Soalan
Saya pelajar sebuah IPT yang menetap di asrama yang bercampur denga wanita bukan Islam. Menjadi satu bebanan bagi saya dan kawan-kawan saya untuk memelihara aurat dalam keadaan orang kafir tinggal sebilik dangan kami.

Jadi saya ingin mendapat penjelasan dari ustazah tentang hukumnya jika kami mendedahkan aurat zahir kami kerana keadaan terpaksa.
shahidah1
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
Jawapan:
Saya sering ditanyakan masalah ini, terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam.Kerana ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.
Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur  ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.
Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka.Lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.
Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya  :
“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.
Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.
Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dgn kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian. kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yg mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yg bermaksud:
“Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.
Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.
Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.
Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadaan wanita bukan Islam diatas keperluan dan  syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.
Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari  dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.
Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.
Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.
Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.
Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang sulit2 kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.
Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.
WALLAHU ‘A’LAM

Monday 9 September 2013

Resepi ikan singgang




Bahan-bahan 


  • ikan tongkol / aya (ikan lain pun boleh juga)
  • 1 cm lengkuas 
  • 1 cm kunyit hidup
  • 3-4 ulas bawang putih (diketuk)
  • 2 ulas bawang merah (dibelah 4)
  • 1-2 keping asam keping
  • 2 batang serai (diketuk)
  • Cili padi (ikut kepedasan yg diinginkan)
  • Bendi
  • Garam secukup rasa
  • Air


Cara-cara


  1. Masukkan air ke dalam periuk dan masak sehingga hampir mendidih.
  2. Kemudian, masukkan semua bahan lengkuas, kunyit hidup, bawang putih, bawang merah, cili padi dan serai, asam keping, garam dan serbuk perasa ke dalam periuk tadi.
  3. Biarkan sehingga mendidih sedikit. Masukkan ikan.
  4. Akhir sekali, tambahkan bendi.

Resepi udang masak merah


Bahan-bahan 

  • udang 
  • sedikit kunyit hidup (dikisar)
  • cili kering (dikisar) - kalau suka pedas, letak banyak + cili padi
  • 3 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • 1/2 inci lengkuas (dikisar)
  • 1 batang serai (dikisar)
  • daun limau purut
  • sos cili
  • sos tomato
  • sos tiram
  • garam
  • gula - jika perlu
  • minyak 
  • 1 bj bawang besar (dimayang)
  •  1 biji cili besar (dihiris)

Cara-cara

  1. Tuangkan sedikit minyak dan panaskan. Tumiskan bahan2 kisar sehingga naik bau. Masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan sedikit gula. Tambahkan sedikit air dan kacau perlahan. Biarkan seketika.
  2. Masukkan udang dan kacau lg. Biarkan beberapa minit tapi untuk menambahkan keenakan, biarkan lama kerana air udang itu akan menyedapkan lagi rasa kuah. 
  3. Kemudian masukkan bawang besar dan cili besar. 
  4. Akhir sekali masukkan garam.

Sunday 8 September 2013

Perancangan dalam Perbelanjaan

Merancang Perbelanjaan

Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda besar ataupun kecil
Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.
Urus wang anda dengan bijak melalui langkah berikut:



Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda
  • Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak.
Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang. Adakah anda merancang untuk…
  • Membeli rumah
  • Membeli kereta
  • Mulakan keluarga
  • Menabung untuk pendidikan anak anda
  • Melancong
  • Menyediakan perbelanjaan perubatan
  • Menyimpan wang untuk digunakan setelah bersara
Langkah 2 - Menjejaki Mana Perginya Wang Anda
  • Langkah 2 - Menjejaki Mana Perginya Wang Anda
Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda.
Melalui pemerhatian ini, anda dapat mengetahui:
  • Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda
  • Berapa banyak hutang anda setiap bulan
  • Berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan
Langkah 3 - Menilai Tabiat Berbelanja Anda
  • Langkah 3 - Menilai Tabiat Berbelanja Anda
Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda.
Perhatikan sama ada:
  • Anda menggunakan wang simpanan anda untuk membayar bil semasa
  • Anda memohon pinjaman baru untuk membayar pinjaman lama
  • Anda membelanjakan wang melebihi pendapatan anda
  • Anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak
Langkah 4 - Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda
  • Langkah 4 - Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda
Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda.
Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut:
  • Tentukan jumlah pendapatan bulanan anda
  • Tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain
  • Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim (seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain)

Wednesday 4 September 2013

Konsep Al-Wadiah dalam Perbankan Islam

Wadi`ah bermaksud kontrak menyimpan sesuatu barang atau harta sebagai amanah. Di dalam kontrak ini, pelanggan akan mendepositkan wang tunai atau aset lain sebagai simpanan di bank. Bank akan menjamin keselamatan barang yang di simpan oleh pelanggannya. Mekanisme operasi Wadi`ah adalah seperti berikut:-
  1. Anda mendeposit wang di bank dan bank menjamin wang tersebut akan dipulangkan kepada anda.
  2. Anda boleh mengeluarkan wang pada bila-bila masa.
  3. Bank mungkin mengenakan bayaran sebagai caj menjaga deposit pelanggan dan membayar Hibah (hadiah) jika perlu.
  4. Konsep ini lazimnya diguna pakai di dalam aktiviti penyimpanan deposit, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit.

Comparative Table

Tuesday 3 September 2013

Kontrak Musyarakah

Pengertian:


  • Bahasa : percampuran salah satu harta dengan harta yang lain sehingga tidak boleh dibezakan antara keduanya.

  • Istilah : 

Mazhab Hanafi : "Suatu kontrak antara dua pihak yang berkongsi dalam modal dan untung". 
..... maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)…. (Surah an-nisa' ayat 12)
Terdapat juga hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman: "Aku adalah orang ketiga bersama-sama dengan rakan kongsi, selama masing-masing mereka tidak mengkhianati yang lain. Jika salah seorang mengkhianati yang lain, maka aku meninggalkan mereka berdua." (riwayat Abu Daud dan Hakim)
Ini bermakna, ia adalah sejenis kontrak di mana dua pihak atau lebih mengadakan perjanjian dan kerjasama dalam urusan perniagaan. Semua pihak menjadi rakan kongsi kepada yang lain.
Semua rakan kongsi bersama-sama menyumbangkan modal dan masing-masing terlibat dengan pengurusan untuk mengusahakan perniagaan berkenaan. Sebelum perniagaan dilaksanakan, semua pihak perlu bersetuju dengan pembahagian keuntungan sekiranya ada. Jika perniagaan itu menghasilkan keuntungan, maka semua rakan kongsi akan mendapat bahagian masing-masing sebagaimana yang dipersetujui. Sebaliknya, jika rugi, semua rakan kongsi akan berkongsi kerugian berdasarkan modal yang disumbangkan.
Kelebihannya, setiap rakan kongsi adalah penjamin (kafil) antara satu sama lain. Sesuatu yang menjadi kewajipan kepada seseorang, akan menjadi kewajipan juga kepada seseorang yang lain.
Dalam perbankan Islam hari ini, kontrak musyarakah digunakan secara meluas. Contohnya, produk pembiayaan musyarakah mutanaqisah di mana pihak bank dan pelanggan berkongsi untuk membuat pembelian aset.
Aset tersebut kemudiannya dibeli oleh pelanggan daripada bank sedikit demi sedikit sehinggalah pelanggan mempunyai hak sepenuhnya kepada aset berkenaan.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat ke-56 pada Februari 2006 memutuskan produk pembiayaan berdasarkan kontrak ini diharuskan.
Melalui musyarakah mutanaqisah, pelanggan akan mengenal pasti rumah yang hendak dibeli dan biasanya akan membayar 10% sebagai deposit. Ini bermakna, pelanggan telah mempunyai dan memiliki 10% aset daripada rumah berkenaan. Pihak bank seterusnya akan membeli baki aset rumah itu (90%). Ini bermakna, pelanggan dan bank memiliki bersama (co-ownership) rumah berkenaan. Kemudian, pelanggan akan membuat pembelian bahagian yang dimiliki bank secara berkala.

Sebagai contoh, pelanggan membeli 1% untuk setiap bulan. Lama kelamaan, aset yang dimiliki oleh pelanggan menjadi semakin bertambah dan pada waktu yang sama aset bank menjadi berkurangan. Demikianlah proses berlaku sehingga pelanggan mempunyai pemilikan penuh ke atas rumah berkenaan.
Pembiayaan perumahan yang berasaskan musyarakah mutanaqisah dilihat sebagai alternatif kepada pembiayaan Bai' Bithaman Ajil (BBA). Ini kerana ramai yang kurang berminat kepada BBA disebabkan aplikasi BBA di Malaysia mempunyai elemen Bai' Inah.
Justeru, mereka ingin beralih kepada kontrak yang kurang menimbulkan kontroversi terutamanya di kalangan pakar kewangan Islam dalam dan luar negara.
Faktor-faktor kontrak terbatal :


  • Apabila salah satu pihak mengundurkan diri dari menjadi rakan kongsi dalam kontrak berkenaan.
  • Kematian salah seorang dari rakan kongsi. 
  • Salah seorang dari mereka yang berkontrak menghidapi penyakit yang menjejaskan keterlibatannya dengan pengurusan (tasarruf) seperti gila, lumpuh, koma dan sebagainya.
  • Tidak amanah. 

Justeru, Nabi SAW bersabda: "Tangan Allah di atas dua rakan kongsi selama mereka tidak mengkhianati(rujuk Ibn Qudamah, Al-Mughni, jil IV, ms 1)."