Tuesday 3 September 2013

Kontrak Musyarakah

Pengertian:


  • Bahasa : percampuran salah satu harta dengan harta yang lain sehingga tidak boleh dibezakan antara keduanya.

  • Istilah : 

Mazhab Hanafi : "Suatu kontrak antara dua pihak yang berkongsi dalam modal dan untung". 
..... maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)…. (Surah an-nisa' ayat 12)
Terdapat juga hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman: "Aku adalah orang ketiga bersama-sama dengan rakan kongsi, selama masing-masing mereka tidak mengkhianati yang lain. Jika salah seorang mengkhianati yang lain, maka aku meninggalkan mereka berdua." (riwayat Abu Daud dan Hakim)
Ini bermakna, ia adalah sejenis kontrak di mana dua pihak atau lebih mengadakan perjanjian dan kerjasama dalam urusan perniagaan. Semua pihak menjadi rakan kongsi kepada yang lain.
Semua rakan kongsi bersama-sama menyumbangkan modal dan masing-masing terlibat dengan pengurusan untuk mengusahakan perniagaan berkenaan. Sebelum perniagaan dilaksanakan, semua pihak perlu bersetuju dengan pembahagian keuntungan sekiranya ada. Jika perniagaan itu menghasilkan keuntungan, maka semua rakan kongsi akan mendapat bahagian masing-masing sebagaimana yang dipersetujui. Sebaliknya, jika rugi, semua rakan kongsi akan berkongsi kerugian berdasarkan modal yang disumbangkan.
Kelebihannya, setiap rakan kongsi adalah penjamin (kafil) antara satu sama lain. Sesuatu yang menjadi kewajipan kepada seseorang, akan menjadi kewajipan juga kepada seseorang yang lain.
Dalam perbankan Islam hari ini, kontrak musyarakah digunakan secara meluas. Contohnya, produk pembiayaan musyarakah mutanaqisah di mana pihak bank dan pelanggan berkongsi untuk membuat pembelian aset.
Aset tersebut kemudiannya dibeli oleh pelanggan daripada bank sedikit demi sedikit sehinggalah pelanggan mempunyai hak sepenuhnya kepada aset berkenaan.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat ke-56 pada Februari 2006 memutuskan produk pembiayaan berdasarkan kontrak ini diharuskan.
Melalui musyarakah mutanaqisah, pelanggan akan mengenal pasti rumah yang hendak dibeli dan biasanya akan membayar 10% sebagai deposit. Ini bermakna, pelanggan telah mempunyai dan memiliki 10% aset daripada rumah berkenaan. Pihak bank seterusnya akan membeli baki aset rumah itu (90%). Ini bermakna, pelanggan dan bank memiliki bersama (co-ownership) rumah berkenaan. Kemudian, pelanggan akan membuat pembelian bahagian yang dimiliki bank secara berkala.

Sebagai contoh, pelanggan membeli 1% untuk setiap bulan. Lama kelamaan, aset yang dimiliki oleh pelanggan menjadi semakin bertambah dan pada waktu yang sama aset bank menjadi berkurangan. Demikianlah proses berlaku sehingga pelanggan mempunyai pemilikan penuh ke atas rumah berkenaan.
Pembiayaan perumahan yang berasaskan musyarakah mutanaqisah dilihat sebagai alternatif kepada pembiayaan Bai' Bithaman Ajil (BBA). Ini kerana ramai yang kurang berminat kepada BBA disebabkan aplikasi BBA di Malaysia mempunyai elemen Bai' Inah.
Justeru, mereka ingin beralih kepada kontrak yang kurang menimbulkan kontroversi terutamanya di kalangan pakar kewangan Islam dalam dan luar negara.
Faktor-faktor kontrak terbatal :


  • Apabila salah satu pihak mengundurkan diri dari menjadi rakan kongsi dalam kontrak berkenaan.
  • Kematian salah seorang dari rakan kongsi. 
  • Salah seorang dari mereka yang berkontrak menghidapi penyakit yang menjejaskan keterlibatannya dengan pengurusan (tasarruf) seperti gila, lumpuh, koma dan sebagainya.
  • Tidak amanah. 

Justeru, Nabi SAW bersabda: "Tangan Allah di atas dua rakan kongsi selama mereka tidak mengkhianati(rujuk Ibn Qudamah, Al-Mughni, jil IV, ms 1)."

No comments:

Post a Comment